berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya
tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?
Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Jumaat untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam. ...Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ...ketika hariraya berlaku pada Hari Jumaat :
قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).
Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor
. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).
Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Jumaat pada hariraya itu أصابت السنة “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zohor. Adapun imam hendaklah menunaikan Jumaat untuk mereka yang hendak menunaikan Jumaat, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Jumaat. Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Jumaat bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Jumaat.
Barangsiapa yang telah solat hari raya pada hari Jumaat, diberi kelonggaran kepadanya untuk meninggalkan solat Jumaat pada hari tersebut kecuali Imam, maka wajib atasnya mendirikannya (Jumaat) bersama mereka yang hadir untuk bersolat sama ...ada mereka yang telah solat hari raya atau mereka yang tidak solat hari raya, namun jika tiada sesiapa yang datang (untuk solat Jumaat) gugur kewajipan Jumaat darinya dan hendaklah dia solat zohor.
Para Ulama berdalilkan dalam masalah ini dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunan beliau daripada Iyas bin Abi Ramlah al-Syami katanya:
“Aku menyaksikan Muawiyah bin Abi Sufian r.ham bertanya kepada Zaid bin Arqam, katanya: “Adakah kamu pernah meyaksikan bersama Rasulullah s.a.w dua hari raya berkumpul dalam satu hari? Kata Zaid: Ya. Kata Muawiyah: Maka bagaimanakah baginda s.a.w melakukannya (solat)? Jawab Zaid: Baginda solat hari raya dan memberikan keringan untuk solat Jumaat dan bersabda: Barangsiapa yang hendak solat (Jumaat) maka bolehlah dia bersolat”.
Demikian juga dengan apa yang diriwayatkan Abu Daud dalam sunan beliau daripada Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda:
“Telah berhimpun pada kamu di hari ini dua hari raya, maka sesiapa yang berkehendaki telah cukup (telah luput kefarduan) Jumaat daripadanya, sedangkan kami akan melakukannya (solat Jumaat)”.
Ini menunjukkan bahawa diberi kelonggaran daripada menghadiri Jumaat bagi mereka yang solat hari raya dan tidak diberi kelonggaran ke atas Imam kerana sabda Nabi s.a.w: “sedangkan kami akan melakukan Jumaat”.
Demikian juga apa yang diriwayatkan Imam Muslim daripada al-Nu’man bin Basyir r.huma:
“Bahawa Nabi s.a.w membaca dalam Solat Jumaat dan hari raya dengan surah Sabbih (al-A’la) dan al-Ghasyiah, dan kadang-kadang berhimpun dua hari raya maka Nabi s.a.w membaca keduanya dalam kedua-dua solat (raya dan Jumaat)”.
Barangsiapa yang tidak bersolat Jumaat setelah bersolat hari raya maka wajib atasnya menunaikan solat zohor beramal dengan dalil-dalil umum yang menunjukkan wajibnya solat zohor atas mereka yang tidak melakukan solat jumaat.
وبالله التوفيق وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وسلم.
Lajnah Tetap untuk Kajian Ilmiah dan Fatwa, Arab Saudi.
[Fatwa no: 2358, Jil.8 m.s 181]




