Orang yang tidak mengenali keburukan, mudah terjebak ke dalamnya. Orang yang tidak tahu ciri-ciri kepalsuan, cepat terpedaya dengannya. Ada orang ingin membeli permata, malangnya terbeli kaca, lantaran tidak arif yang mana manikam, dan yang mana kaca.
Orang yang mahu membeli emas jika tidak tahu yang mana tulen dan yang mana palsu, mungkin mudah tertipu. Bermodalkan hanya RM50, ada sindiket menjual seutas rantai dengan harga ribuan ringgit dengan menyadurkannya dengan warna emas dan menandakan cangkuknya dengan nombor 916. Akibat tidak kenal tulen dan palsu, ramai pelanggan sudah tertipu.
Untuk mengenali satu-satu barang yang tulen lagi asli, bukan hanya melalui ciri-ciri keaslian dan ketulenan. Kemahiran tentang kaedah penipuan dan ciri-ciri pemalsuan sangat penting agar kita cepat mengecam dan mengenal pasti jika ia berlaku.
Dalam perihal agama juga begitu. Mahu mengenal Iman yang hakiki, mestilah mempelajari apa itu kufur dengan segala cabang-cabangnya. Mempelajari Tauhid yang suci, mestilah dirangkaikan dengan ilmu mengenai syirik dan bahagian-bahagiannya. Erti sebenar ketaatan tidak akan diketahui jika tidak mengetahui apa itu maksiat. Keteguhan kepada sunnah tidak akan difahami jika tidak kenal apa itu Bidaah. Begitulah seterusnya. Setiap perkara dipelajari dengan lawannya.
Kaedah inilah yang diisyaratkan di dalam hadis Huzaifah bin Al-Yaman. Beliau berkata, “Orang ramai bertanya Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam tentang kebaikan, dan aku pula bertanya baginda tentang keburukan kerana takut ia menimpaku”. (Direkod oleh Bukhari dan Muslim)
Di dalam satu puisi Arab:
Kukenal keburukan bukan untuk diamalkan,
Tapi untuk menghindarkan darinya,
Kerana orang yang tak kenal keburukan,
mudah terjerumus ke dalamnya.
Tapi untuk menghindarkan darinya,
Kerana orang yang tak kenal keburukan,
mudah terjerumus ke dalamnya.
Berhadapan dengan pelbagai fitnah di zaman ini, umat Islam mesti mempunyai pengetahuan tentang bidaah dan kesesatan serta ciri-cirinya. Belajar apa itu bidaah, dan apa itu sesat supaya kita terselamat. Belajar apakah ciri-ciri ajaran sesat agar tidak mudah diperdaya.
Menyedari pentingnya tajuk ini, saya akan cuba menyenaraikan beberapa ciri-ciri ajaran yang menyeleweng. Supaya apabila kita berdepan dengan kumpulan yang mempunyai ciri-ciri sebegini, kita akan lebih berhati-hati.
(takkanlah islam yang nabi bawa ajar mcm ni, ini di turki pun tarekat)
Antara ciri-ciri ahli bidaah dan ajaran menyeleweng ialah:
1) Tidak menyenangi ilmu hadis. Ia adalah ciri terpenting mana-mana kumpulan ajaran sesat dan ahli bidaah. Mereka amat fobia dengan firman Allah, dan sabda Nabi Sallallahu Alahi Wasallam. Manakan tidak, fakta dari dua sumber inilah yang akan membongkar temberang dan pembohongan ahli bidaah. Mereka akan kelu dan kaku jika cuba berhujah di hadapan kitab-kitab hadis.
Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H) meriwayatkan bahawa Abu Nasr bin Sallam Al-Faqih berkata, “Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi kumpulan yang menyeleweng dan paling dibenci oleh mereka selain daripada mendengar hadis dan meriwayatkannya dengan sanad”.
Al-Hakim (wafat: 404H) dalam kitab Makrifah Ulum al-Hadis menceritakan bahawa Syeikh Abu Bakr Ahmad bin Ishaq Al-Faqih berdebat dengan seorang lelaki. Apabila Syeikh menyebut, “Telah meriwayatkan kepada kami oleh si Fulan…”, lantas lelaki tersebut berkata, “Tinggalkan sahaja periwayatan. Sampai bila masih mahu menggunakan periwayatan?”. Syeikh tersebut kemudian menghalau lelaki tersebut dari rumahnya.
2) Memusuhi dan memperlekahkan ahli hadis. Ahli bidaah dan sesat bukan setakat membenci ilmu hadis, malah tidak menyenangi ulama yang tutur katanya dihiasi “Firman Allah, dan sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam”. Kerana ahli hadis lah benteng kepada kemurnian ajaran Islam.
Abu Hatim Al-Razi (wafat: 277 H) berkata, “Tanda ahli bidaah ialah mencela terhadap ahli hadis”.
Ahmad bin Sinan Al-Qattan berkata, “Tidak ada ahli bidaah di atas dunia ini kecuali dia membenci ahli hadis. Apabila seorang lelaki membuat bidaah, akan tercabut dari hatinya kemanisan hadis”.
Al-Hakim (wafat: 404H) menyebut di dalam kitab Makrifah Ulum Al-Hadis, “Beginilah kami mmengenali samada ketika perjalanan atau ketika menetap, bahawa setiap orang yang dinisbahkan kepada menyeleweng dan bidaah akan memandang hina terhadap ‘Thoifah Mansurah’ (Ahli Sunnah)”.
Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H) menegaskan, “Tanda paling jelas kumpulan ahli bidaah ialah terlalu membenci terhadap mereka yang membawa hadis-hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, serta mereka memperlekehkan golongan ini”.
3) Melabelkan Ahli Sunnah dengan pelbagai gelaran. Antara gelaran-gelaran yang sering bermain di bibir ahli bidaah ialah menuduh Ahli Sunnah sebagai ‘Musyabbihah’.
Ishaq bin Rahuyah (wafat: 238H) berkata: “Tanda Jahm dan pengikut-pengikut mereka ialah: mereka mendakwa ke atas Ahli Sunnah Wal Jamaah serta celaan bohong bahawa mereka (Ahli Sunnah) adalah musyabbihah”.
Kata Abu Hatim Al-Razi (wafat: 277 H): “Tanda Jahmiyyah ialah mereka menamakan Ahli Sunnah sebagai Musyabbihah”.
Selain gelaran Musyabbihah, ahli bidaah sering menggelarkan ahli sunnah sebagai ‘Hasyawiyyah’ dan ‘Zahiriyyah’ sebagaimana disebut oleh Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H).
Malah Imam Bukhari sendiri pernah dilabelkan sebagai ‘Hasyawiyyah’ oleh ahli bidaah. Di dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala, Imam Zahabi menyebut bahawa Al-Shahib (wafat: 385) seorang berfahaman Syiah dan Muktazilah disebut kepadanya nama Imam Bukhari. Lalu beliau berkata, “Siapa Bukhari? Hasyawi yang tidak boleh dirujuk kepadanya”.
Demikian perangai ahli bidaah dari dahulu sampai sekarang, melabelkan ahli sunnah dengan pelbagai gelaran.
4) Melampau dalam kepercayaan. Antara ciri-ciri ajaran yang menyeleweng ialah melampau dalam satu-satu kepercayaan. Sikap melampau sangat ditegah dalam Al-Quran dan Sunnah. Sesatnya Kristian adalah kerana sikap melampau mereka terhadap Nabi Isa Alaihissalam. Nabi Isa, hamba Allah yang bertaraf Rasul diangkat mereka sebagai Tuhan yang disembah.
Sikap seperti inilah yang ada pada banyak ajaran-ajaran songsang. Mengangkat guru-guru dan syeikh-syeikh mereka melebihi had yang sebenar. Menganggap guru mereka mengetahui apa yang tersembunyi dalam dada anak-anak muridnya. Ada yang percaya guru mereka boleh bertolak ansur dengan Tuhan dalam hal-hal ajal dan maut. Paling aneh lagi melucukan, setiap kumpulan ini menganggap guru mereka lah wali paling tinggi tarafnya di zamannya. Pelbagai gelaran diberikan, Sahibuzzaman, Sultan Awliya, Wakil Tuhan, dan macam-macam.
5) Guru yang mengaku bahawa dia Wali Allah. Ada sesetengah ajaran kebiasaannya ajaran tarekat, gurunya secara terang-terangan mengaku bahawa dia adalah Wali Allah. Yang lebih hebat, jika ditambah lagi dengan kelebihan-kelebihan lain seperti dilantik sebagai Wakil Allah, atau Orang Allah.
Kalau kita tahu apa makna wali yang sebenar, nescaya kita tidak akan mempercayai individu yang mengaku bahawa dia wali. Wali adalah orang yang paling bertaqwa kepada Allah Taala. Orang yang benar-benar bertaqwa tidak akan sekali-kali mengangkat dirinya dan mengaku bahawa dia paling bertaqwa. Mengaku wali bererti mengaku ketinggian taqwanya kepada Allah.
Allah berfirman, maksudnya:
“Maka jangan kamu memuji diri kamu sendiri, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang bertaqwa”. (Al-Najm: 32)
6) Berhujah menggunakan mimpi guru. Oleh kerana ajaran Quran dan Sunnah tidak mungkin memihak kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat, mereka terpaksa mencari helah lain bagi mengaburi mata para pengikut. Antaranya berhujah dengan mimpi.
Berhujah dengan mimpi tanpa merujuk kepada syariat menjadi sebab kesesatan. Abdul Aziz bin Nashir Al-Jalil berkata, “Hendaklah bersikap jaga-jaga dengan permainan syaitan terhadap manusia dalam mimpi waktu tidur. Betapa ramai individu malahan kumpulan menjadi sesat dengan sebab mimpi”.
Hendaklah kita meyakini bahawa syariat Islam sudah sempurna dan lengkap. Tidak berhajat kepada penambahan melalui mimpi mana-mana wali atau wakil Tuhan. Malahan, seluruh ulama bersepakat bahawa mimpi tidak boleh dijadikan hujah dalam hukum-hakam.
7) Menganggap guru mereka tidak melakukan dosa. Atau dengan kata lain guru mereka maksum, seperti para Nabi.
Lihat bagaimana Syiah Rafidhah mempercayai bahawa imam-imam mereka yang 12 orang adalah manusia maksum, tidak melakukan dosa. Kepercayaan seperti ini menunjukkan kesesatan mereka.
Begitu juga sesetengah ajaran tarekat yang menyifatkan guru mereka sebagai tidak berdosa. Tidak berani menggunakan perkataan ‘Maksum’ yang khas bagi para Nabi, mereka mencipta istilah lain, iaitu ‘Mahfuz’. Hakikat dan maksudnya sama iaitu mengangkat guru setaraf dengan Nabi Sallallahu Alahi Wasallam.
Imam Malik bin Anas (wafat: 179H) berkata, “Setiap orang diambil kata-katanya dan ditolak. Kecuali empunya kubur ini (Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam)”.
Demikian beberapa ciri-ciri untuk mengenali ahli bidaah dan ajaran menyeleweng. Semoga dengan mengenali sifat-sifat mereka, kita akan lebih berjaga-jaga apabila bertemu dengan kumpulan seperti ini. Mudah-mudahan Allah Taala menyelamatkan akidah dan pegangan kita daripada diperdaya oleh musuh-musuhNyatambahan:
1- islam datang untuk meningkatkan taraf pemikir penganutnya..sesuatu yang di anggap bodoh msti di jauhkan dari islam.
2-cerita2 ahli2 sufi yang melampau mestilah di lunasi dan bersandarkan pada ulama2 yang muktabar, jika anda baca buku di jalanan pastinya anda akan jumpa kisah pelik2, contoh yang biasa kita dgr seperti syeh abdul qadir jailani membaling selipar dari bagdad boleh sampai ke india sbb ada pempuan meminta dari beliau tolong dari perogol, antara cita lain kononnya ayah abdul qadir jailani makan buah di sungai sehingga beliau mencari tuanya dan berkerja sehingga berkahwin ngan anak tuan tersebut, kisah2 sebegini memang banyak dalam2 buku yang ada di jual di tepi jalan, kebanyakan kisah2 yang menceritakan kehebatan wali2 ini adalah dari anak2 murid yang taksub dgn tarikat masing2 jd bacalah buku2 dari ulama2 yang jaguh dalam bab tarikh dan sejarah.
3- sbb tu asas dalam agama bermula dgn memahani al quran dan assunnah, semua dalam agama terutama dalam perkara ibadah msty bersandarkan al quran dan assunah, agama tidak bermula dgn fadail a'mal dgn hanya menceritakan kelebihan itu dan ini menyebabkan umat islam mebeku, hanya duduk di masjid hanya buat amal ibadah dan mengharapkan pahala yang bukan2 kerana mereka tersalah merujuk hadith yang di reka2 kerana mereka tidak faham sunnah, ini adalah konsep mujazafah diantara ulama2 hadith dan sufi, kukuhkan pemahan anda mengenai al quran dan sunnah, jika kukuh pasti anda dapat menangkis anasir2 yang boleh mencacatkan aqeedah anda
4-kebanyakan ahli sufi membezakan mereka dgn orang awam mereka mengatakan mereka ahli hakikat dan orang awam adalah ahli syarikat mereka merujuk kepada nabi musa dan khidir, ahli sufi dan tareekat makam mereka seperti nabi khidir, yang nabi khidir membuat satu andaian di luar pemikiran nabi musa yang nabi khidir memecahkan perahu, membunuh kerana nabi khidir sudah nampak masa depan dan nabi khidir ahli hakikat manakala nabi musa ahli syariat, tetapi ummat nabi muhammad semuanya msty da wajib ikut syariat yang nabi muhammada SAW bawa, kerana addin samawie yang lain sudah mansuh,kerana nabi muhammad SAW adalah rahmat sekalian alam, semua msty ikut syariat yang di bawa oleh nabi SAW..
jd kesimpulan yang dapat di ambil kesufian dan tareekat mastylah berpandukan kepada al quran dan sunnah,setinggi mana makam seseorang guru itu, setebal mana serban tok syeh itu 16 kilo ker jika tak sama mcm yang di bawa oelh al quran dan sunnah dan ulama2 yang mengikut manhaj nabi dan jaguh dalam pemahaman al quran dan sunnah, kita dgn rasa rendah diri msty ikut sebagai mana dalam quran dan sunnah..
dari abu umair
kemaskini muhd firdaus bin abdul hamid



